"Blog ini adalah nukilan fiksyen sejarah berkisarkan kembara Daeng Malimbok a.k.a. Panglima Garang, seorang bangsawan Bugis yang banyak meninggalkan pengaruh di Selangor dan Johor. Tulisan aku ini adalah fiksyen semata-mata walaupun terdapat selitan fakta-fakta sejarah sebenar. Hanya sekadar hiburan dan janganlah dijadikan sebagai rujukan akademik."

Tuesday, August 10, 2010

Era Belanda bermula...

Tahun 1732 masihi,



Tentangan orang-orang Melayu di Pangkor telah pun dihapuskan oleh Kompeni. Akibat permintaan bijih timah yang meningkat mendadak di negara asalnya akibat peperangan dengan Perancis dan Holy Roman Empire (dikenali Germany sekarang ini selepas penyatuannya), Raja Belanda telah menambah armadanya di Selat Melaka kepada dua belas kapal kelas Frigate termasuk kapal lagendanya, Nassau. Pengukuhan armadanya ini bagi memastikan kapal-kapal dagangnya terjamin untuk pulang ke Eropah. Pada masa yang sama, perluasannya di Nusantara juga telah sampai ke Dili yang terletak di selatan kepulauan Maluku. Kompeni telah menetapkan untuk menguasai bukan sahaja bijih timah tetapi juga perdagangan rempah.



Menyedari perkembangan ini, banyak kerajaan-kerajaan kecil di rantau ini mula membuat perjanjian bersekutu dengan Kompeni. Di antaranya kerajaan Toraja di Maluku dan Naning di Melaka. Kompeni melihat perjanjian ini amat menguntungkan mereka dalam mendapatkan sokongan pengaruh mereka di Nusantara di samping cuba melumpuhkan aktiviti pelanunan oleh orang-orang Bugis. Malah Kompeni juga membekalkan senjata api dan latihan penggunaannya kepada kerajaan-kerajaan yang bersengkokol dengan mereka.



Kompeni juga telah mula menjalankan kempen menghapuskan pengaruh Bugis di Johor. Tidak tahu sama ada kesilapan percaturan oleh Kerajaan Johor yang menyerang Kota Melaka dua tahun sebelum itu, Kompeni menjadikan serangan itu sebagai casus belli (cause of war) untuk mengistiharkan perang terhadap orang-orang Bugis. Kesannya, Daeng Chelak telah terputus hubungan dengan Raja Haji di Johor. Meneliti ketumbukan Kompeni ketika itu, Daeng Chelak juga tidak berdaya untuk membantu saudaranya itu di Johor.



Melihat kepada peluang yang ada, orang-orang Minangkabau mula merasakan ini adalah masa terbaik mereka untuk melemahkan pengaruh Bugis di Tanah Melayu terutamanya untuk mengambil alih penguasaan muara Lukut dari Bugis. Secara diam-diam, Penghulu Sungai Ujong dan Penghulu Rembau telah menjalinkan persekutuan dan merancang serangan terhadap Kota Lukut dan Pengkalan Kempas iaitu dua kota kecil Bugis yang mengawal perdagangan di Lukut dan Linggi. Bagi memastikan kejayaan serangan dua kota kecil itu, kedua-dua kerajaan Minangkabau tersebut telah membeli seratus patah senapang lantak dan lima meriam tembaga buatan Belanda dari Penghulu Naning. Penghulu Naning menjual senjata api berkenaan setelah bersetuju dengan terma yang diberikan oleh kedua-dua Penghulu tersebut iaitu enam dari sepuluh bahagian cukai bijih timah di Linggi dan empat dari sepuluh bahagian bagi cukai yang sama di Lukut.



Namun, plot serangan ini telah disedari oleh Pembesar Bugis di Pengkalan Kempas, Daeng Jili dan dengan tidak membuang masa Daeng Jili menghantar utusan ke Kota Lukut untuk memaklumkan mereka mengenai plot serangan ini. Utusannya itu mula menyusuri utara Selat Melaka ke Kota Lukut dan berharap cahaya bulan mengambang pada malam itu tidak membuatkan orang-orang Minangkabau menyedari kelibat layar kapalnya.


Sekarang Daeng Jili hanya menghitung waktu menanti serangan orang-orang Minangkabau yang jaraknya telah dikesan setengah hari sahaja dari Pengkalan Kempas. Enam puluh laskar bersemuka dengan empat ratus askar amatur, enam puluh patah senapang cucuh membidik seratus patah senapang lantak. Namun Daeng Jili yakin mereka boleh bertahan sebulan di dalam kota kayu itu.


"Ahh, orang Bugis lebih pandai dari Minang hingusan itu bila bermain senjata api!" teriak Daeng Jili dari atas menara kayu di kota kecil itu.


Sorakan semangat cepat disambut laskar-laskarnya yang berpengalaman tempur lebih sepuluh tahun itu. Namun, jauh di lubuk hati masing-masing mengetahui kemenangan adalah amat tipis terutamanya di waktu musim tengkujuh ini.

1 comment:

  1. menarik dan cadangan kena letakkan efek nada serta elemen suspen khasnya dalam mewarnakan latar perang antara minang dengan bugis

    ReplyDelete