"Blog ini adalah nukilan fiksyen sejarah berkisarkan kembara Daeng Malimbok a.k.a. Panglima Garang, seorang bangsawan Bugis yang banyak meninggalkan pengaruh di Selangor dan Johor. Tulisan aku ini adalah fiksyen semata-mata walaupun terdapat selitan fakta-fakta sejarah sebenar. Hanya sekadar hiburan dan janganlah dijadikan sebagai rujukan akademik."

Monday, October 25, 2010

Utusan dari Selangor

Kesemua senjata pada badan Daeng Malimbok termasuk pedang Katana 4 kaki itu diserahkan kepada bentara balairong seri. Ini adalah peraturan biasa yang lazim diketahui oleh mana-mana pembesar yang ingin menghadap pemerintah Kerajaan Gowa ini.

"Beta harap seruan beta ini tidak menyulitkan kamu Malimbok kerana perkara ini adalah keutamaan negara buat masa ini" titah Sultan Hasanudin dari singgahsananya itu."

"Tidak, Tuanku. Kebetulan aku tidak berlayar kerana memberi peluang kepada anak-anak kapal bertemu anak isteri"

"Baguslah begitu. Ingin Beta perkenalkan Daeng Unru utusan dari saudara kita di Selangor" Daeng Malimbok menganggukan kepalanya kepada Daeng Unru.

"Dari jauh saudaraku ini datang. Sudah tentu bukan tujuan untuk berdagang. Apakah gerangan Daeng sehinggakan memerlukan bantuan aku yang tidak seberapa ini"

"Buat pengetahuan kamu Malimbok, Kerajaan Selangor akan ditimpa musibah tidak lama lagi. Orang Minang dan Belanda telah bersepakat untuk menawan Kota Jugra dalam masa tiga bulan dari sekarang. Malah, Pengkalan Kempas telah ditawan dan Kota Lukut sedang dikepung. Saudara kita ini datang memohon bantuan ketenteraan dari kita" perjelas Sultan Hasanudin yang dari tadi asyik berkerut sahaja dahinya seolah-olah tanah ini pula yang bakal ditimpa musibah.

Tersentak Daeng Malimbok dengan berita ini memandangkan sepupunya Daeng Jili adalah pemerintah Pengkalan Kempas.

"Apakah nasib saudaraku Daeng Jili wahai Daeng?"

"Daeng Jili gugur bersama-sama dengan laskarnya di pengkalan itu. Mereka berjuang hingga titisan darah terakhir kerana tidak rela dijadikan tawanan. Bersamaku ini adalah utusan dari Pengkalan Kempas yang selamat melepaskan diri untuk mendapatkan bantuan"

"Ampun, Daeng. Kalau diturutkan hatiku tidak kan aku meninggalkan saudara-saudaraku itu tetapi arahan Daeng Jili terpaksa aku akuri. Kesal sekali kesulitanku dalam pelayaran telah menyebabkan Pengkalan Kempas telah ditawan sebelum sempat aku tiba ke Kota Lukut. Orang Belanda telah menguasai Tanjung Tuan. Mustahil bagi kapal-kapal besar untuk menyusuri Selat Melaka tanpa dikesan pada masa ini walaupun pada waktu malam. Aku mengambil masa tiga hari untuk sampai ke Kota Lukut kerana terpaksa melalui jalan darat."

"Berikan titahnya segera, Tuanku! Tenri Elle dan anak-anak kapalnya bersedia untuk melunaskan hutang darah ini!" bingkas Daeng Malimbok bangkit dari kedudukan melututnya.

"Bertenang, Malimbok. Usah terburu-buru membuat keputusan dalam keadaan marah takut nanti padah hasilnya kelak hari. Beta telah pun membuat keputusan terhadap hal ini. Perkara ini amat sulit untuk dibicara dalam balairong. Mari ke bilik sebelah untuk terima titah beta"

Kesemua ahli balairong seri tunduk apabila Sultan Hasanudin bangkit dari singgahsananya menuju ke bilik Ketua Bentara. Daeng Malimbok dan utusan dari Selangor itu melewati kemudiannya. Turut mengikuti kemudiannya ialah Raja Anuar adinda Sultan Hasanudin yang juga panglima ketumbukan pertama Laskar Kerajaan Gowa.

Sunday, October 24, 2010

Rujukan 2 : Ilmu Laut

Kapal Perang Kelas Frigate
Kapal Dagang Kelas Pinisi

Kapal Perang Kelas Sabbak (Xebec)


Kosayeer Khair Ad Din a.k.a Corsair Barbarossa (1478-1546)


















Tanah Moyang Ujung Pandang

Ada orang bilang tempat ini adalah penghujung dunia. Namun ada orang bilang dunia ini tidak berpenghujung. Apa pun tiada siapa yang kisah dengan perdebatan ini. Umumnya semua orang di Nusantara ini mengetahui tanah ini kaya dengan hasil buminya. Kalau dahulu hanya saudagar Melaka yang sanggup berdagang ke sini tapi hari ini benggali putih dari negara atas angin pun banyak berlegar-legar tidak kira di tamu atau perlabuhan.

Itulah dia Ujung Pandang, tanah nenek moyang orang Bugis, tempat bersemayamnya Sultan Kerajaan Gowa. Pelabuhannya penuh dengan pinisi yang sarat hendak dipunggah dengan rempah ratus tanah Sulawesi. Selat Makassar luas terbentang di hadapannya memisahkan tanah ini dengan tanah orang Banjar. Kotanya yang gah itu mengentarkan orang-orang Kompeni mahupun Toraja untuk menawannya. Menara meriam setinggi 40 hasta di pelabuhannya pula membuatkan nakhoda musuh seperti membunuh diri memasuki perairan ini. Walau apapun kecanggihan pertahanannya, kemasyuran Kerajaan Gowa adalah pada kebengisan laskar-laskarnya ketika berperang sehinggakan orang Belanda menggelarkannya 'Boogieman'.

Baru menurunkan sauh dan layar di pelabuhan Paotere itu adalah Tenri Elle sebuah kapal perang kelas Sabbak milik Daeng Malimbok. Dilengkapi dengan 20 laras meriam 20 paun, kapal ini di anugerahkan oleh Sultan Hasanudin Tumenanga Ri Balla Pangkana, Sultan Gowa Ke-16 setelah memperolehinya dari Kerajaan Othmaniah melalui perjanjian perdagangan lada hitam di antara kedua-dua Kerajaan itu. Kapal ini yang juga dikenali oleh orang Sepanyol sebagai Xebec adalah kelas yang sama digunakan oleh Laksamana Barbarossa, Kosayeer Othmaniah yang amat ditakuti oleh pelayar-pelayar mereka. Dengan kemampuan menerima beban sehingga 160 tan, kapal ini dikendalikan oleh anak-anak kapal sehingga 314 orang bilangan tertinggi dicatatnya. Bersandangkan dengan tiga layar bersegi tiga kelajuaannya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kapal di rantau ini dan merupakan malapetaka kepada musuhnya jika diserang dari arah melawan angin.

Menjejakkan kaki ke pelantar pelabuhan tidak lain tidak bukan ialah Daeng Malimbok. Susuk tubuhnya adalah kecil jika hendak dibandingkan dengan orang-orang kanannya. Pada ketinggian 5 kaki 2 inci sahaja lelaki ini jangan dicabar untuk bertempur di laut. Sudah banyak kapal Kompeni dan lanun Jepun telah karam apabila ditemuinya di samudera raya. Jika tidak manakan Sultan Gowa mengeluarkan watikah pelantikan sebagai Kosayeer Kerajaan Gowa kepada beliau. Dengan lagak sebagai orang besar, dirinya itu sibuk bersalam-salaman dengan orang kebanyakan sambil melangkah perlahan ke arah pintu masuk Kota Ujung Pandang itu. Hari ini dia diseru Sultan Hasanudin tetapi tidak diketahuinya lagi apa tujuannya.

Bermundar-mandir dalam fikirannya apa yang diinginkan oleh Sultan Hasanudin kerana lazimnya dia diseru pada setiap penghujung empat bulan dan bukannya pada masa sekarang ini yang baru sebulan dari seruan sebelumnya.