"Blog ini adalah nukilan fiksyen sejarah berkisarkan kembara Daeng Malimbok a.k.a. Panglima Garang, seorang bangsawan Bugis yang banyak meninggalkan pengaruh di Selangor dan Johor. Tulisan aku ini adalah fiksyen semata-mata walaupun terdapat selitan fakta-fakta sejarah sebenar. Hanya sekadar hiburan dan janganlah dijadikan sebagai rujukan akademik."

Sunday, October 24, 2010

Tanah Moyang Ujung Pandang

Ada orang bilang tempat ini adalah penghujung dunia. Namun ada orang bilang dunia ini tidak berpenghujung. Apa pun tiada siapa yang kisah dengan perdebatan ini. Umumnya semua orang di Nusantara ini mengetahui tanah ini kaya dengan hasil buminya. Kalau dahulu hanya saudagar Melaka yang sanggup berdagang ke sini tapi hari ini benggali putih dari negara atas angin pun banyak berlegar-legar tidak kira di tamu atau perlabuhan.

Itulah dia Ujung Pandang, tanah nenek moyang orang Bugis, tempat bersemayamnya Sultan Kerajaan Gowa. Pelabuhannya penuh dengan pinisi yang sarat hendak dipunggah dengan rempah ratus tanah Sulawesi. Selat Makassar luas terbentang di hadapannya memisahkan tanah ini dengan tanah orang Banjar. Kotanya yang gah itu mengentarkan orang-orang Kompeni mahupun Toraja untuk menawannya. Menara meriam setinggi 40 hasta di pelabuhannya pula membuatkan nakhoda musuh seperti membunuh diri memasuki perairan ini. Walau apapun kecanggihan pertahanannya, kemasyuran Kerajaan Gowa adalah pada kebengisan laskar-laskarnya ketika berperang sehinggakan orang Belanda menggelarkannya 'Boogieman'.

Baru menurunkan sauh dan layar di pelabuhan Paotere itu adalah Tenri Elle sebuah kapal perang kelas Sabbak milik Daeng Malimbok. Dilengkapi dengan 20 laras meriam 20 paun, kapal ini di anugerahkan oleh Sultan Hasanudin Tumenanga Ri Balla Pangkana, Sultan Gowa Ke-16 setelah memperolehinya dari Kerajaan Othmaniah melalui perjanjian perdagangan lada hitam di antara kedua-dua Kerajaan itu. Kapal ini yang juga dikenali oleh orang Sepanyol sebagai Xebec adalah kelas yang sama digunakan oleh Laksamana Barbarossa, Kosayeer Othmaniah yang amat ditakuti oleh pelayar-pelayar mereka. Dengan kemampuan menerima beban sehingga 160 tan, kapal ini dikendalikan oleh anak-anak kapal sehingga 314 orang bilangan tertinggi dicatatnya. Bersandangkan dengan tiga layar bersegi tiga kelajuaannya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kapal di rantau ini dan merupakan malapetaka kepada musuhnya jika diserang dari arah melawan angin.

Menjejakkan kaki ke pelantar pelabuhan tidak lain tidak bukan ialah Daeng Malimbok. Susuk tubuhnya adalah kecil jika hendak dibandingkan dengan orang-orang kanannya. Pada ketinggian 5 kaki 2 inci sahaja lelaki ini jangan dicabar untuk bertempur di laut. Sudah banyak kapal Kompeni dan lanun Jepun telah karam apabila ditemuinya di samudera raya. Jika tidak manakan Sultan Gowa mengeluarkan watikah pelantikan sebagai Kosayeer Kerajaan Gowa kepada beliau. Dengan lagak sebagai orang besar, dirinya itu sibuk bersalam-salaman dengan orang kebanyakan sambil melangkah perlahan ke arah pintu masuk Kota Ujung Pandang itu. Hari ini dia diseru Sultan Hasanudin tetapi tidak diketahuinya lagi apa tujuannya.

Bermundar-mandir dalam fikirannya apa yang diinginkan oleh Sultan Hasanudin kerana lazimnya dia diseru pada setiap penghujung empat bulan dan bukannya pada masa sekarang ini yang baru sebulan dari seruan sebelumnya.

No comments:

Post a Comment