"Blog ini adalah nukilan fiksyen sejarah berkisarkan kembara Daeng Malimbok a.k.a. Panglima Garang, seorang bangsawan Bugis yang banyak meninggalkan pengaruh di Selangor dan Johor. Tulisan aku ini adalah fiksyen semata-mata walaupun terdapat selitan fakta-fakta sejarah sebenar. Hanya sekadar hiburan dan janganlah dijadikan sebagai rujukan akademik."

Monday, October 25, 2010

Utusan dari Selangor

Kesemua senjata pada badan Daeng Malimbok termasuk pedang Katana 4 kaki itu diserahkan kepada bentara balairong seri. Ini adalah peraturan biasa yang lazim diketahui oleh mana-mana pembesar yang ingin menghadap pemerintah Kerajaan Gowa ini.

"Beta harap seruan beta ini tidak menyulitkan kamu Malimbok kerana perkara ini adalah keutamaan negara buat masa ini" titah Sultan Hasanudin dari singgahsananya itu."

"Tidak, Tuanku. Kebetulan aku tidak berlayar kerana memberi peluang kepada anak-anak kapal bertemu anak isteri"

"Baguslah begitu. Ingin Beta perkenalkan Daeng Unru utusan dari saudara kita di Selangor" Daeng Malimbok menganggukan kepalanya kepada Daeng Unru.

"Dari jauh saudaraku ini datang. Sudah tentu bukan tujuan untuk berdagang. Apakah gerangan Daeng sehinggakan memerlukan bantuan aku yang tidak seberapa ini"

"Buat pengetahuan kamu Malimbok, Kerajaan Selangor akan ditimpa musibah tidak lama lagi. Orang Minang dan Belanda telah bersepakat untuk menawan Kota Jugra dalam masa tiga bulan dari sekarang. Malah, Pengkalan Kempas telah ditawan dan Kota Lukut sedang dikepung. Saudara kita ini datang memohon bantuan ketenteraan dari kita" perjelas Sultan Hasanudin yang dari tadi asyik berkerut sahaja dahinya seolah-olah tanah ini pula yang bakal ditimpa musibah.

Tersentak Daeng Malimbok dengan berita ini memandangkan sepupunya Daeng Jili adalah pemerintah Pengkalan Kempas.

"Apakah nasib saudaraku Daeng Jili wahai Daeng?"

"Daeng Jili gugur bersama-sama dengan laskarnya di pengkalan itu. Mereka berjuang hingga titisan darah terakhir kerana tidak rela dijadikan tawanan. Bersamaku ini adalah utusan dari Pengkalan Kempas yang selamat melepaskan diri untuk mendapatkan bantuan"

"Ampun, Daeng. Kalau diturutkan hatiku tidak kan aku meninggalkan saudara-saudaraku itu tetapi arahan Daeng Jili terpaksa aku akuri. Kesal sekali kesulitanku dalam pelayaran telah menyebabkan Pengkalan Kempas telah ditawan sebelum sempat aku tiba ke Kota Lukut. Orang Belanda telah menguasai Tanjung Tuan. Mustahil bagi kapal-kapal besar untuk menyusuri Selat Melaka tanpa dikesan pada masa ini walaupun pada waktu malam. Aku mengambil masa tiga hari untuk sampai ke Kota Lukut kerana terpaksa melalui jalan darat."

"Berikan titahnya segera, Tuanku! Tenri Elle dan anak-anak kapalnya bersedia untuk melunaskan hutang darah ini!" bingkas Daeng Malimbok bangkit dari kedudukan melututnya.

"Bertenang, Malimbok. Usah terburu-buru membuat keputusan dalam keadaan marah takut nanti padah hasilnya kelak hari. Beta telah pun membuat keputusan terhadap hal ini. Perkara ini amat sulit untuk dibicara dalam balairong. Mari ke bilik sebelah untuk terima titah beta"

Kesemua ahli balairong seri tunduk apabila Sultan Hasanudin bangkit dari singgahsananya menuju ke bilik Ketua Bentara. Daeng Malimbok dan utusan dari Selangor itu melewati kemudiannya. Turut mengikuti kemudiannya ialah Raja Anuar adinda Sultan Hasanudin yang juga panglima ketumbukan pertama Laskar Kerajaan Gowa.

Sunday, October 24, 2010

Rujukan 2 : Ilmu Laut

Kapal Perang Kelas Frigate
Kapal Dagang Kelas Pinisi

Kapal Perang Kelas Sabbak (Xebec)


Kosayeer Khair Ad Din a.k.a Corsair Barbarossa (1478-1546)


















Tanah Moyang Ujung Pandang

Ada orang bilang tempat ini adalah penghujung dunia. Namun ada orang bilang dunia ini tidak berpenghujung. Apa pun tiada siapa yang kisah dengan perdebatan ini. Umumnya semua orang di Nusantara ini mengetahui tanah ini kaya dengan hasil buminya. Kalau dahulu hanya saudagar Melaka yang sanggup berdagang ke sini tapi hari ini benggali putih dari negara atas angin pun banyak berlegar-legar tidak kira di tamu atau perlabuhan.

Itulah dia Ujung Pandang, tanah nenek moyang orang Bugis, tempat bersemayamnya Sultan Kerajaan Gowa. Pelabuhannya penuh dengan pinisi yang sarat hendak dipunggah dengan rempah ratus tanah Sulawesi. Selat Makassar luas terbentang di hadapannya memisahkan tanah ini dengan tanah orang Banjar. Kotanya yang gah itu mengentarkan orang-orang Kompeni mahupun Toraja untuk menawannya. Menara meriam setinggi 40 hasta di pelabuhannya pula membuatkan nakhoda musuh seperti membunuh diri memasuki perairan ini. Walau apapun kecanggihan pertahanannya, kemasyuran Kerajaan Gowa adalah pada kebengisan laskar-laskarnya ketika berperang sehinggakan orang Belanda menggelarkannya 'Boogieman'.

Baru menurunkan sauh dan layar di pelabuhan Paotere itu adalah Tenri Elle sebuah kapal perang kelas Sabbak milik Daeng Malimbok. Dilengkapi dengan 20 laras meriam 20 paun, kapal ini di anugerahkan oleh Sultan Hasanudin Tumenanga Ri Balla Pangkana, Sultan Gowa Ke-16 setelah memperolehinya dari Kerajaan Othmaniah melalui perjanjian perdagangan lada hitam di antara kedua-dua Kerajaan itu. Kapal ini yang juga dikenali oleh orang Sepanyol sebagai Xebec adalah kelas yang sama digunakan oleh Laksamana Barbarossa, Kosayeer Othmaniah yang amat ditakuti oleh pelayar-pelayar mereka. Dengan kemampuan menerima beban sehingga 160 tan, kapal ini dikendalikan oleh anak-anak kapal sehingga 314 orang bilangan tertinggi dicatatnya. Bersandangkan dengan tiga layar bersegi tiga kelajuaannya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kapal di rantau ini dan merupakan malapetaka kepada musuhnya jika diserang dari arah melawan angin.

Menjejakkan kaki ke pelantar pelabuhan tidak lain tidak bukan ialah Daeng Malimbok. Susuk tubuhnya adalah kecil jika hendak dibandingkan dengan orang-orang kanannya. Pada ketinggian 5 kaki 2 inci sahaja lelaki ini jangan dicabar untuk bertempur di laut. Sudah banyak kapal Kompeni dan lanun Jepun telah karam apabila ditemuinya di samudera raya. Jika tidak manakan Sultan Gowa mengeluarkan watikah pelantikan sebagai Kosayeer Kerajaan Gowa kepada beliau. Dengan lagak sebagai orang besar, dirinya itu sibuk bersalam-salaman dengan orang kebanyakan sambil melangkah perlahan ke arah pintu masuk Kota Ujung Pandang itu. Hari ini dia diseru Sultan Hasanudin tetapi tidak diketahuinya lagi apa tujuannya.

Bermundar-mandir dalam fikirannya apa yang diinginkan oleh Sultan Hasanudin kerana lazimnya dia diseru pada setiap penghujung empat bulan dan bukannya pada masa sekarang ini yang baru sebulan dari seruan sebelumnya.

Thursday, August 12, 2010

" vilaine "

Telah masuk hari kelapan orang-orang Minangkabau yang diketuai oleh Penghulu Rembau telah menyerang kota ini. Hanya tinggal dua puluh tiga laskar sahaja yang bertahan berbanding enam puluh sebelum ini. Di pihak penyerang hampir dua ratus orang terkorban dan mayat-mayat masih bergelimpangan mereput di hadapan kota Pengkalan Kempas. Angka korban yang tinggi itu bagaimanapun tidak menghentikan semangat Penghulu Rembau untuk menawan Pengkalan Kempas. Malam ini nanti adalah penentu muktamad pertempuran di Pengkalan Kempas.

Kelihatan seorang laskar Bugis yang masih terpalit lagi abu belerang di mukanya gelisah mengira butir-butir peluru yang masih ada dalam simpanannya. Di sebelahnya pula kelihatan Malim pengkalan itu yang tidak berhenti-henti meninjau penghujung medan untuk mengesan kelibat angkatan serangan musuh.

"Malim, melihat butir peluru yang tinggal pada aku sekarang, hanya lapan orang Minang sahaja yang aku boleh jatuhkan. Itu pun jika tembakan aku itu tepat" keluh laskar itu kepada Malimnya.

"Kita orang Bugis takkan menyerah sebagai tawanan. Biar menjadi mayat di kota ini daripada dijual sebagai hamba di Melaka" ujar Malim itu menenangkan laskarnya.


"Cuma ingat pesanan ku ini...hanya lepaskan tembakan bila mereka berada dalam jarak dua puluh hasta. Jangan lupa asah parang...kau amat memerlukannya malam ini nanti"

Nasihat terakhir itu keluar dari mulutnya setelah melihat awan hitam yang berarak dari arah laut menandakan akan hujan lebat malam ini. Walaupun orang Bugis amat digeruni dalam pertempuran senjata api malangnya mereka masih menggunakan lagi teknologi usang senapang cucuh buatan Sepanyol. Senapang cucuh amat cenderung untuk tidak berfungsi pada waktu hujan apabila sumbu pencucuhnya menjadi basah berbanding senapang lantak yang tidak memerlukan sumbu pencucuh. Kemenangan kali ini sudah nyata akan ditentukan berdasarkan takdir alam.

Sedang Malim itu merenung jauh ke awan-awan hitam itu, tiba-tiba dia didatangi seorang laskar yang masih belasan tahun umurnya.

"Malim, kau diseru Malim Kanan sekarang". Tanpa berlengah Malim itu beredar dari tembok peninjau dan bergegas ke pondok gerakan yang berada di tengah kota.

Duduk di atas bangku di dalam pondok itu sambil mengasah parang tidak lain tidak bukan adalah Malim Kanan. Balutan luka akibat terkena panahan di peha kirinya masih lagi berdarah. Mujur mata panah itu tidak dicelup dengan bisa katak oleh pemanahnya. Sekiranya ia disapu sudah tentu Malim Kanan pada masa ini terbaring nazak menunggu ajal dalam keadaan nafas tersekat-sekat. Namun, Malim Kanan masih tegap dan kuat. Luka seperti ini bukanlah kali pertama dilaluinya malah ada yang lebih teruk lagi terutama sekali luka tembakan di bahu kirinya ketika kempen menentang Siam di Kedah dahulu.

"Apa jangkaan Malim tentang serangan orang Minang pada malam ini?"

"Aku fikir mereka akan mula menyerang bila hujan mulai turun. Mereka tahu kelemahan kita, Malim Kanan"

"Kau rasa mereka sanggup meredah lumpur untuk mendaki ke Kota ini?"

"Lumpur bukan lagi halangan kepada mereka. Mayat-mayat orang mereka yang bergelimpangan di depan kota itu akan menjadi titian. Aku jangka dua ratus orang akan menyerang. Serangan akan lebih berat dari arah utara kerana lebih banyak mayat di situ. Kita juga perlu berjaga-jaga pada arah barat, takut-takut bantuan musuh dari Sungai Ujong akan tiba"

"Apa persediaan yang dah kau lakukan, Malim?"

"Aku dah tuangkan minyak dalam parit. Laskar akan nyalakan api bila maraan besar-besaran dilakukan oleh mereka. Lima belas penembak tepat aku letakkan di tembok utara dengan dibantu tiga orang laskar untuk mengisi semula peluru senapang. Dua meriam yang tinggal, satu aku letakkan di tembok utara dan satu lagi di tembok barat. Hanya dua laskar sahaja yang dapat kendalikan untuk satu-satu meriam. Seorang laskar aku letakkan di luar kota sebagai peninjau"

"Laskar peninjau itu kau bekalkan senjata api atau tidak?"

"Tidak, nyawanya bergantung pada parang, keris dan kemahiran"

"Kalau begitu, berikan ini padanya"

Malim Kanan menghulurkan sepucuk pistol lantak kepada Malim. Tersentak Malim melihat pistol itu kerana dia amat mengenalinya. Pistol lantak tiga laras buatan Perancis itu tidak lain tidak bukan adalah milik ketua pengkalan mereka, Daeng Jili yang terkorban empat hari lalu setelah terkena tembakan pada bahagian bawah telinga kanannya. Boleh dikatakan seluruh pengkalan mengenali dan mengagumi pistol yang tertera perkataan Perancis "vilaine" pada hulunya itu semenjak ia diberikan oleh Daeng Malimbok kepada sepupunya itu ketika persinggahannya ke pengkalan inidua tahun yang lepas.

"Semoga kehebatan pistol ini melindungi keselamatan laskar kau itu"

Tuesday, August 10, 2010

Era Belanda bermula...

Tahun 1732 masihi,



Tentangan orang-orang Melayu di Pangkor telah pun dihapuskan oleh Kompeni. Akibat permintaan bijih timah yang meningkat mendadak di negara asalnya akibat peperangan dengan Perancis dan Holy Roman Empire (dikenali Germany sekarang ini selepas penyatuannya), Raja Belanda telah menambah armadanya di Selat Melaka kepada dua belas kapal kelas Frigate termasuk kapal lagendanya, Nassau. Pengukuhan armadanya ini bagi memastikan kapal-kapal dagangnya terjamin untuk pulang ke Eropah. Pada masa yang sama, perluasannya di Nusantara juga telah sampai ke Dili yang terletak di selatan kepulauan Maluku. Kompeni telah menetapkan untuk menguasai bukan sahaja bijih timah tetapi juga perdagangan rempah.



Menyedari perkembangan ini, banyak kerajaan-kerajaan kecil di rantau ini mula membuat perjanjian bersekutu dengan Kompeni. Di antaranya kerajaan Toraja di Maluku dan Naning di Melaka. Kompeni melihat perjanjian ini amat menguntungkan mereka dalam mendapatkan sokongan pengaruh mereka di Nusantara di samping cuba melumpuhkan aktiviti pelanunan oleh orang-orang Bugis. Malah Kompeni juga membekalkan senjata api dan latihan penggunaannya kepada kerajaan-kerajaan yang bersengkokol dengan mereka.



Kompeni juga telah mula menjalankan kempen menghapuskan pengaruh Bugis di Johor. Tidak tahu sama ada kesilapan percaturan oleh Kerajaan Johor yang menyerang Kota Melaka dua tahun sebelum itu, Kompeni menjadikan serangan itu sebagai casus belli (cause of war) untuk mengistiharkan perang terhadap orang-orang Bugis. Kesannya, Daeng Chelak telah terputus hubungan dengan Raja Haji di Johor. Meneliti ketumbukan Kompeni ketika itu, Daeng Chelak juga tidak berdaya untuk membantu saudaranya itu di Johor.



Melihat kepada peluang yang ada, orang-orang Minangkabau mula merasakan ini adalah masa terbaik mereka untuk melemahkan pengaruh Bugis di Tanah Melayu terutamanya untuk mengambil alih penguasaan muara Lukut dari Bugis. Secara diam-diam, Penghulu Sungai Ujong dan Penghulu Rembau telah menjalinkan persekutuan dan merancang serangan terhadap Kota Lukut dan Pengkalan Kempas iaitu dua kota kecil Bugis yang mengawal perdagangan di Lukut dan Linggi. Bagi memastikan kejayaan serangan dua kota kecil itu, kedua-dua kerajaan Minangkabau tersebut telah membeli seratus patah senapang lantak dan lima meriam tembaga buatan Belanda dari Penghulu Naning. Penghulu Naning menjual senjata api berkenaan setelah bersetuju dengan terma yang diberikan oleh kedua-dua Penghulu tersebut iaitu enam dari sepuluh bahagian cukai bijih timah di Linggi dan empat dari sepuluh bahagian bagi cukai yang sama di Lukut.



Namun, plot serangan ini telah disedari oleh Pembesar Bugis di Pengkalan Kempas, Daeng Jili dan dengan tidak membuang masa Daeng Jili menghantar utusan ke Kota Lukut untuk memaklumkan mereka mengenai plot serangan ini. Utusannya itu mula menyusuri utara Selat Melaka ke Kota Lukut dan berharap cahaya bulan mengambang pada malam itu tidak membuatkan orang-orang Minangkabau menyedari kelibat layar kapalnya.


Sekarang Daeng Jili hanya menghitung waktu menanti serangan orang-orang Minangkabau yang jaraknya telah dikesan setengah hari sahaja dari Pengkalan Kempas. Enam puluh laskar bersemuka dengan empat ratus askar amatur, enam puluh patah senapang cucuh membidik seratus patah senapang lantak. Namun Daeng Jili yakin mereka boleh bertahan sebulan di dalam kota kayu itu.


"Ahh, orang Bugis lebih pandai dari Minang hingusan itu bila bermain senjata api!" teriak Daeng Jili dari atas menara kayu di kota kecil itu.


Sorakan semangat cepat disambut laskar-laskarnya yang berpengalaman tempur lebih sepuluh tahun itu. Namun, jauh di lubuk hati masing-masing mengetahui kemenangan adalah amat tipis terutamanya di waktu musim tengkujuh ini.

Monday, August 9, 2010

Kuasa Tiga Penjuru

Tahun 1728 masihi,


Setelah beberapa kempen di Kedah dan Perak menentang kuasa Siam dan Acheh, Daeng Chelak telah memutuskan untuk menetap di Jugra sebagai pengkalan tetap orang Bugis di Tanah Melayu. Dengan kawasan koloni seluas kira-kira 5 ekar dan penduduk hampir 600 orang yang terdiri daripada laskar Bugis dan orang tempatan, Daeng Chelak berjaya menguasai perdagangan bijih timah dari Kelang dan Lukut; sumber kekayaan Tanah Melayu ketika itu. Namun begitu, kuasanya hanya terbatas setakat Pangkor di utara dan Linggi di selatan yang ketika itu dikuasai oleh Kompeni Hindia Timur Belanda yang lebih dikenali sebagai V.O.C.

Pihak Kompeni pada ketika itu mengambil pendekatan tidak menghiraukan kawasan pengaruh Daeng Chelak memandangkan sumber bijih timah di Perak dan Linggi sudah mencukupi kehendak mereka di rantau ini. Tambahan pula, tentangan orang-orang Melayu di Pangkor sudah cukup memeningkan kepala mereka dalam memastikan pengekalan pengaruh mereka di Perak. Berbekalkan hanya empat kapal kelas Frigate yang hanya dilengkapi dua puluh buah meriam untuk sebuah kapal di Selat Melaka ini, adalah seperti menjolok sarang tebuan jika mereka menggangu kuasa Bugis di Kelang dan Lukut.


Pada masa yang sama, orang-orang Minangkabau mula memperluaskan pengaruh mereka di Lukut pada sebelah barat Tanah Melayu sehingga ke Segamat pada sebelah timur dan Naning di sebelah selatan Tanah Melayu hingga ke Penarikan di sebelah utara. Peluasan mendadak ini bermula setelah penemuan bijih timah di Sungai Ujong dan Rembau. Hampir setiap hari orang-orang Padang itu membanjiri kawasan berkenaan dan jumlah mereka telah mengatasi orang-orang Bugis pada nisbah 7:1.


Namun begitu, peluasan pengaruh Minangkabau di Sungai Ujong dan Ulu Muar ini pula tidak dilihat sebagai ancaman oleh Daeng Chelak kerana orang-orang Minangkabau pada masa itu tidak bersatu dan fahaman mengikut suku adalah sangat kuat di kalangan mereka. Malahan, muara Lukut masih lagi dikuasai oleh Bugis justeru memonopoli perdagangan bijih timah di Sungai Ujong. Tidak terlintas di fikiran Daeng Chelak ketika itu kaum yang perempuannya berkuasa akan meluaskan pengaruh mereka ke Kelang.