"Blog ini adalah nukilan fiksyen sejarah berkisarkan kembara Daeng Malimbok a.k.a. Panglima Garang, seorang bangsawan Bugis yang banyak meninggalkan pengaruh di Selangor dan Johor. Tulisan aku ini adalah fiksyen semata-mata walaupun terdapat selitan fakta-fakta sejarah sebenar. Hanya sekadar hiburan dan janganlah dijadikan sebagai rujukan akademik."

Monday, August 9, 2010

Kuasa Tiga Penjuru

Tahun 1728 masihi,


Setelah beberapa kempen di Kedah dan Perak menentang kuasa Siam dan Acheh, Daeng Chelak telah memutuskan untuk menetap di Jugra sebagai pengkalan tetap orang Bugis di Tanah Melayu. Dengan kawasan koloni seluas kira-kira 5 ekar dan penduduk hampir 600 orang yang terdiri daripada laskar Bugis dan orang tempatan, Daeng Chelak berjaya menguasai perdagangan bijih timah dari Kelang dan Lukut; sumber kekayaan Tanah Melayu ketika itu. Namun begitu, kuasanya hanya terbatas setakat Pangkor di utara dan Linggi di selatan yang ketika itu dikuasai oleh Kompeni Hindia Timur Belanda yang lebih dikenali sebagai V.O.C.

Pihak Kompeni pada ketika itu mengambil pendekatan tidak menghiraukan kawasan pengaruh Daeng Chelak memandangkan sumber bijih timah di Perak dan Linggi sudah mencukupi kehendak mereka di rantau ini. Tambahan pula, tentangan orang-orang Melayu di Pangkor sudah cukup memeningkan kepala mereka dalam memastikan pengekalan pengaruh mereka di Perak. Berbekalkan hanya empat kapal kelas Frigate yang hanya dilengkapi dua puluh buah meriam untuk sebuah kapal di Selat Melaka ini, adalah seperti menjolok sarang tebuan jika mereka menggangu kuasa Bugis di Kelang dan Lukut.


Pada masa yang sama, orang-orang Minangkabau mula memperluaskan pengaruh mereka di Lukut pada sebelah barat Tanah Melayu sehingga ke Segamat pada sebelah timur dan Naning di sebelah selatan Tanah Melayu hingga ke Penarikan di sebelah utara. Peluasan mendadak ini bermula setelah penemuan bijih timah di Sungai Ujong dan Rembau. Hampir setiap hari orang-orang Padang itu membanjiri kawasan berkenaan dan jumlah mereka telah mengatasi orang-orang Bugis pada nisbah 7:1.


Namun begitu, peluasan pengaruh Minangkabau di Sungai Ujong dan Ulu Muar ini pula tidak dilihat sebagai ancaman oleh Daeng Chelak kerana orang-orang Minangkabau pada masa itu tidak bersatu dan fahaman mengikut suku adalah sangat kuat di kalangan mereka. Malahan, muara Lukut masih lagi dikuasai oleh Bugis justeru memonopoli perdagangan bijih timah di Sungai Ujong. Tidak terlintas di fikiran Daeng Chelak ketika itu kaum yang perempuannya berkuasa akan meluaskan pengaruh mereka ke Kelang.

1 comment:

  1. adik ipar aku ada susun galur dari keturunan anak-anak raja bugis jugak. Aku susun galur keturunan adam ja ha ha ha ha

    ReplyDelete